Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2 juta pada Konsert Destini yang bakal diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada 20 dan 21 Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif YDAB, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali berkata, dana tersebut akan digunakan bagi membantu meringankan beban penuntut universiti itu daripada kalangan keluarga miskin.
"Selain penuntut UiTM dana itu juga akan disalurkan ke Tabung Pendidik Anak Bangsa YDAB bagi membantu pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di universiti tersebut," katanya kepada mStar Online.
Mohd Aizuddin ditemui semasa sidang media konsert berkenaan yang diadakan di Hotel Blue Wave di sini pada Rabu.
Seramai sembilan orang artis terkenal akan membuat persembahan pada konsert berkenaan iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Amy (Search), Rossa, Pansha (Ungu), Awie, Adira, Hafiz, Jaclyn Victor dan Dayang Nurfaizah.
Program berkenaan adalah di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Dalam pada itu, Mohd Aizuddin berkata, setakat ini tiket berharga RM1,000 sudah habis terjual dan perkembangan itu cukup memberangsangkan.
Malah katanya lagi, secara keseluruhan sebanyak 2,000 keping tiket telah terjual setakat ini.
"Dewan tersebut mampu memuatkan 3,750 penonton pada satu-satu masa dan sambutan hangat daripada penonton membuatkan kami mengambil keputusan untuk mengadakan persembahan itu selama dua hari," jelasnya.
Tambahnya lagi, setiap artis akan menyampaikan dua buah lagu manakala Siti Nurhaliza dan Amy akan mendendangkan tiga buah lagu.
Persembahan kesemua penyanyi pada malam itu nanti akan dipimpin oleh pengarah pemuzik, Edrie Hashim.
Sementara itu, Mohd Aizuddin berkata, pihaknya berbesar hati dengan sokongan nama-nama besar dalam industri muzik bagi menjayakan persembahan itu.
Malah katanya, rata-rata artis tidak mengambil masa panjang untuk bersetuju apabila mengetahui tujuan konsert itu diadakan adalah bagi membantu mereka yang memerlukan.
"Seperti hari ini (Rabu) Rossa tidak dapat hadir tetap dia akan datang ke Shah Alam minggu hadapan untuk melawat UiTM bersama-sama anak-anak yatim. Komitmen semua artis amat kami hargai," jelasnya.
Selain berharga RM1,000 turut dijual tiket berharga RM30, RM80, RM200, RM300 dan RM500.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi 019-6704734 / 013-3959839 / 03-79622186. - BLOG YDAB
No comments:
Post a Comment