Lain-lain

Saturday, 27 April 2013

Sanggup korbankan rumah untuk dijadikan bilik gerakan Barisan Nasional




PASIR PUTEH 19 April - Angin perubahan dalam kalangan penduduk di daerah ini semakin ketara apabila ada di kalangan mereka yang sanggup 'mengorbankan' rumah yang tidak lagi diduduki untuk dijadikan bilik gerakan Barisan Nasional (BN).
Malah, pemilik rumah terbabit, Zailani Ya, 48, turut membenarkan rumah tersebut dijadikan Bilik Gerakan Tukar dan dipasang poster calon BN DUN Semerak, Zawawi Othman.
Rumah tersebut dicat dengan warna merah dan logo 'Tukar' bagi membantu kempen BN merampas kerusi Parlimen Pasir Puteh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menurut Zailani, rumah tersebut telah dicat secara bergotong-royong sejak sebulan lalu bagi membolehkan BN menghadapi pilihan raya ini dengan lebih konsisten.
"Ia adalah suatu simbolik untuk menyatakan sokongan kuat kami supaya DUN Semerak yang sejak sekian lama di bawah kepimpinan Pas berjaya dirampas kembali," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, rumah berkenaan yang terletak berhampiran kediamannya di pekan Cherang Ruku, kini menjadi pusat operasi Pemuda BN dan ahli-ahli Tukar untuk menjalankan tugas mereka memasang bendera UMNO/BN serta lain-lain kegiatan berkaitan pilihan raya.
Katanya, beliau sentiasa memikirkan dekorasi yang menarik bagi menaikkan semangat jentera BN kerana ia adalah sebahagian daripada gerak saraf sepanjang kempen pilihan raya diadakan.
Selain Semerak, DUN lain di bawah Parlimen Pasir Puteh adalah Selising, Limbongan dan Gaal yang kesemuanya dikuasai Pas.

- Utusan Online-

No comments:

Post a Comment

.

Catatan lain