Lain-lain

Monday 1 June 2015

OPERASI BESAR BESARAN kepada peniaga yang masih berdegil mengenakan SST terhadap 557 jenis barangan #GST

Alias Ahmad
2 JUN 2015 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melakukan pemeriksaan besar-besaran kepada peniaga yang masih berdegil mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap 557 jenis barangan.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, langkah itu dibuat ekoran pihaknya menerima banyak aduan berhubung sikap peniaga yang mengambil kesempatan mengenakan SST sehingga menyebabkan harga 557 barangan itu meningkat di pasaran.

Beliau menjelaskan, sepatutnya bermula 1 April lalu, SST sebanyak 10 peratus terhadap 557 barangan itu ditolak dan hanya dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

“Bagaimanapun terdapat peniaga masih mengenakan SST dan lebih mengejutkan, terdapat dalam kalangan mereka melaksanakan cukai berganda iaitu SST dan GST.

“Oleh itu, kita akan menjalankan operasi bermula esok terhadap premis seluruh negara untuk memeriksa 557 barangan itu sama ada dikenakan GST atau SST,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam.

Alias memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan senarai 557 jenis barangan untuk rujukan peniaga dan pengguna dalam masa terdekat.

Sementara itu, Alias memberitahu, penurunan statistik aduan mengenai pelaksanaan GST merupakan satu tanda indikator bahawa rakyat sudah memahami pelaksanaan cukai baharu tersebut.

Ujarnya, aduan yang diterima menerusi laman e-aduan KPDNKK telah menurun sebanyak 86 peratus dengan pada Mei lalu sebanyak 864 aduan berbanding 5,399 dicatat pada April.

“Penurunan turut berlaku ke atas saluran aduan rasmi KPDNKK iaitu aplikasi MyKira GST dan talian hotline Pusat Gerakan Anti Pencatutan (PGAP).

“Bagaimanapun, saluran untuk pengguna menyatakan aduan dan pertanyaan masih terus disediakan. Kita berharap pengguna terus melaporkan kepada kita mengenai sikap peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

.

Catatan lain