Lain-lain

Tuesday 4 June 2013

TINDAKAN TATATERTIB POLITIK BERLEBIHAN

Penjawat awam wajar tumpu usaha laksana dasar transformasi

Kuala Lumpur - Penjawat awam yang masih aktif berpolitik menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diambil tindakan tatatertib.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata penjawat awam boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan, pekeliling dan undang-undang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, politik berlebihan seperti dilakukan segelintir penjawat awam ini
 boleh memberi kesan buruk dan tidak lagi relevan berikutan PRU sudah tamat.


Ketua jabatan pantau

“Saya sudah meminta ketua jabatan untuk memantau perkara ini. Semua penjawat awam tidak lagi dibenarkan berpolitik memandangkan tempoh PRU sudah tamat malah keputusan juga sudah diketahui umum.

“Sekarang adalah masa untuk menumpukan perhatian pada dasar transformasi yang sudah dirancang dan perlu dilaksanakan dengan licin dan terurus. Hal politik tidak harus lagi dibincangkan sebaliknya penjawat awam lebih memikirkan apakah sumbangan yang harus diberikan pada kemajuan negara pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) 2013, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Naib Yang Di Pertua PUSPANITA, Datuk Puteh Kamariah Mohamad.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meminta rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik secara berlebihan kerana ia hanya menyebabkan masa terbuang untuk negara terus melangkah ke hadapan.

Laksana amanah besar

Beliau berkata, sudah tiba masanya penjawat awam memberi tumpuan kepada usaha melaksanakan amanah lebih besar, diberikan rakyat selepas Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada PRU lalu.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ali menyeru ahli PUSPANITA turun padang bagi memberikan penjelasan mengenai dasar program kerajaan disamping membantu kerajaan mendapatkan maklum balas mengenai keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut meminta penjawat awam lebih berintegriti, kreatif dan inovatif dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

“PUSPANITA juga harus memainkan peranan bagi memastikan Akujanji Kerajaan terhadap rakyat ditepati sepenuhnya malah ahli PUSPANITA dianggap sebagai ejen penting bagi merealisasikan agenda transformasi negara berjaya,” katanya. -BH-

No comments:

Post a Comment

.

Catatan lain