Lain-lain

Wednesday 5 March 2014

BADAR SERAH DOKUMEN KUNING (LEBUHRAYA RAKYAT) #BarisanDarulNaim #Badar #DokumenKuning


KAMARUDIN Mohd. Kasim (tiga, kanan) menyerahkan dokumen bertajuk 'Catatan Rakyat Mengenai Lebuh Raya Rakyat' yang mengandungi segala maklumat mengenai projek berkenaan yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 kepada Wan Nik Wan Yusof selepas sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 5 Mac - Pelbagai masalah yang melanda projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai menyebabkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan Kerajaan Pas Kelantan melaksanakan janjinya itu semakin terhakis.

Kecewa melihat pelbagai isu yang timbul sejak projek itu diumumkan dua tahun lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Barisan Darulnaim (Badar) hari ini hadir ke Kompleks Kota Darul Naim, di sini untuk menyerahkan 'dokumen kuning' kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Pengerusinya, Kamarudin Mohd. Kasim berkata, dokumen bertajuk 'Catatan Rakyat Mengenai Lebuh Raya Rakyat' itu mengandungi segala maklumat mengenai projek berkenaan yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dokumen itu, tambah beliau, merupakan satu bentuk peringatan daripada rakyat supaya kerajaan negeri berpegang kepada janji dan mengakui kelemahan sendiri jika tidak mampu melaksanakannya.


"Jika kerajaan negeri mengalami masalah kewangan, bolehlah umumkan kepada rakyat untuk batalkan sahaja projek lebuh raya ini atau mungkin berdepan implikasi kewangan lebih serius jika diteruskan juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 'Dokumen Kuning: Catatan Rakyat Mengenai Lebuh Raya Rakyat' kepada Ahmad ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kali Ke-13 berehat, di sini hari ini.

Dokumen yang akan dicetak dan diedarkan kepada rakyat Kelantan itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof untuk disampaikan kepada Ahmad.


Kamarudin berkata, antara isu terkini yang mendapat perhatian rakyat adalah saman RM230 juta oleh sebuah syarikat terhadap Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan anak syarikatnya, Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn. Bhd. baru-baru ini berhubung pembinaan lebuh raya terbabit.

"Jika mahkamah mengarahkan kerajaan negeri membayar sejumlah wang kepada syarikat berkenaan, kami minta supaya jangan sekali-kali menggunakan dana yang dikutip daripada rakyat.

"Kami mencadangkan kerajaan negeri membayarnya dengan cara memotong gaji atau elaun Exco-Exco sebagai balasan terhadap kecuaian mereka dalam membuat keputusan tanpa melakukan penyelidikan terperinci," katanya.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment

.

Catatan lain